Sunday, December 27, 2015

Hati yang berdosa

Pertamanya, ku pohon ampun dari yang Esa kerana terpaksa menulis luahan rasa yang agak sensitif di sini. Demi Allah, tiada rasa mahu mengaibkan sesiapa, apatah lagi memburukkan insan yang sungguh tinggi kedudukannya dalam takhta rumah tangga kami.

Kenapa perasaan ini hadir bertalu talu setelah tempoh kami tinggal berjauhan hampir 6 bulan. Rasa sangsi dengan kasih sayang suami mula hadir, di tambah bisikan jahat dari hati mendambakan itu dan ini dengan persoalan 'kenapa tidak begitu dan begini...'

Ampunkan aku ya Rabbi....

Dia di selatan, dan aku di sini mencari rezeki. Namun sesekali timbul rasa 'jahat' mahu menghambur persoalan mengapa harus aku yang bertanggungjawab menjaga ibunya disini. Allah! berat sekali mahu mengatakan TIDAK kerana dia sendiri tidak pernah meminta untuk aku bersetuju atau tidak. Ini umpama tanggungjawab yang tiada pilihan! MANDATORI.

Aku harungi sebeban tugasan berat ini dengan memujuk hati yang separa ikhlas. Mungkin juga pada penilaian Allah aku tidak ikhlas. Aku mohon ampun atas kelemahan ini ya Rabbi....

Menerima karenah ibu mertua yang kadang kala memang tak masuk akalku sebagai menantu membuat tahap ikhlasku mencecah negatif. Aku bukan manusia maksum yang boleh tidur lena bila nasi yang sama ditanak setiap hari menjadi sungguh tidak enak tiba-tiba di tekaknya! Tidak juga aku boleh bertenang tika ayat menghiris tangkai hatiku di ulang-ulang dengan selamba!

Namun, inilah JIHADKU melawan hati jahatku sendiri dalam mencari dimana keihlasan aku berada. Aku sedar belum ada sedikitpun dari sekeping hatiku ini keikhlasan melainkan ia telah terpadam dengan bentakan jahat omelanku sendiri dari dalam hati ketika aku tak dapat menahan sabar.

Minggu-minggu yang ku nanti untuk bersama dia suamiku berlalu tanpa rasa istimewa di hatinya. Seperti aku hanya bertandang dari jauh, untuk menghilangkan penat sahaja. Tiada pelukan mesra, ataupun sedikit sentuhan romantis yang mungkin boleh menghilangkan sangsi. 

Curiga bertaut dengan namun masih terlalu awal untuk aku bersangka buruk. BARANGKALI. Aku yakin ujian ini tidak sia-sia melainkan Engkau tahu inilah yang terbaik untuk ku . Aku menangis hampir setiap malam namun entah kenapa rasa berat meluahkan secara terbuka. 

Ulang tahun perkahwinan kami ke 12 berlalu begitu sahaja.... tiada rasa dihargai. Mungkin ulang tahun kelahiran ku beberapa hari lagi juga akan berlalu sepi seperti tahun sudah....

Semoga Allah membantu aku berlapang dada..... Kerana aku tahu Dia sentiasa bersamaku. 






No comments:

Post a Comment